Saturday, November 25, 2006

Festival Dikir Barat : 12 Pemuda Negeri Berentap Di Bachok 25 Nov Ini
Posted on Tuesday, November 21 @ 16:59:28 MYT


Oleh Adnil Mohd

Kuala Lumpur -- Bagi memastikan penyuburan seni, warisan dan budaya terus bersemarak Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) akan menganjurkan “Festival Dikir Barat” pada 25 November ini bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok, Kelantan.

Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pemuda UMNO, Azizul Nizam Bidin berkata festival yang julung kalinya disertai oleh seluruh Pemuda UMNO negeri adalah satu lagi inisiatif pihaknya dalam merealisasikan program merakyatkan seni budaya tempatan.

“Matlamat kita mengadakan festival ini adalah untuk bersama berganding bahu dengan mana-mana pihak terutama kerajaan untuk memastikan agenda kita dalam pembentukan masyarakat yang maju tanpa menghakiskan nilai budaya, warisan bangsa.

“Kita berpendapat program atau festival seumpama ini akan memberi sumbangan yang bermakna serta menjadi medium terbaik mendidik dan memberi maklumat serta membentuk model peranan positif bagi kepentingan masyarakat terutama kepada generasi muda”, katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Jelas beliau kemuncak festival ini adalah pertandingan Dikir Barat yang buat pertama kalinya menampilkan penyertaan Pemuda UMNO dari setiap pelosok negeri.

Ini kata beliau lagi bagi memperlihatkan betapa keunikan serta seni warisan Dikir Barat bukan sahaja diminati dan popular di negeri Kelantan sahaja tetapi dikongsi dan diwarisi bersama dengan negeri-negeri lain di negara ini.

“Pertandingan ini juga secara tidak langsung merakyatkan masyarakat terdiri dari golongan pemuda khususnya dan belia-belia agar lebih berwawasan, inovatif dan berdisiplin serta menghargai warisan khazanah Melayu.

“Selain itu ia juga mampu mengimarahkan, memperkasakan dan mengekalkan salah satu daripada cabang seni warisan Melayu seterusnya mengangkat dan mengembangkan Dikir Barat ini ke tahap nasional”, ujarnya.

Festival ini tambah beliau merupakan peluang terbaik untuk mempromosi budaya selain mewujudkan integrasi yang padu di kalangan ahli pergerakan itu dan masyarakat setempat.

“Kejayaan menganjurkan “Festival Tarian Zapin” di Johor Bharu pada Januari yang lalu telah memberi keyakinan yang kuat untuk kita meneruskan acara yang serupa tetapi membabitkan seni warisan Melayu dari negeri Kelantan iaitu Dikir Barat”, katanya.

Pada Isnin, 20 November yang lalu pihak Sekretariat Festival Dikir Barat Pemuda UMNO dan Kementerian Kebudayan, Keseniaan dan Warisan telah pun mengadakan cabutan undi itu untuk menentukan giliran bagi pasukan Pemuda UMNO negeri-negeri membuat persembahan dalam pertandingan itu nanti.

Berikut giliran pasukan Pemuda UMNO negeri yang akan membuat persembahan :

1) Negeri Sembilan
2) Perlis
3) Melaka
4) Perak
5) Terengganu
6) Pahang
7) Wilayah Persekutuan
8) Pulau Pinang
9) Sabah
10) Selangor
11) Kedah
12) Johor

Setiap negeri akan diwakili oleh 25 orang peserta yang terdiri daripada ahli Pemuda negeri tersebut di mana pasukan negeri terbabit dilatih oleh Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Pasukan Dikir Barat Pemuda UMNO Kelantan tidak akan menyertai pertandingan ini sebaliknya bakal membuat persembahan khas pada kemuncak festval ini nanti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Sri Hishammuddin Tun Hussien, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Bachok merangkap Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Hussain akan turut hadir bagi memeriahkan lagi festival berkenaan.

Selain pameran berkenaan seni, budaya dan warisan negara, festival ini juga akan turut menyajikan permainan tradisi rakyat seperti permainan congkak, dam aji, sepak raga bulatan, serta diserikan lagi dengan penglibatan tokoh dikir barat tempatan seperti Megat Nordin, Abe Jali, Adik Alif, Osman Kering dan Cik Awee (Salam Pantai Timur).

Dipetik daripada Laman web Pemuda UMNO Malaysia

0 Comments:

Post a Comment