Wednesday, November 29, 2006

Pengguna mesti diberitahu kos sebenar pembelian kredit

PENGGUNA mestilah diberitahu kos sebenar meminjam dalam usaha untuk membuat pilihan. Pengguna sanggup membayar lebih untuk barang yang dibeli melalui kredit. Bagaimanapun, adakah semua pengguna mahu membeli secara kredit jika mereka tahu kadar faedah yang dikenakan adalah 60 peratus setahun?

Apa yang berlaku, pengguna tidak menyedari kadar faedah yang dikenakan dan hanya tahu bahawa dia hanya perlu membayar jumlah yang kecil setiap minggu atau bulan untuk memiliki sesuatu barang itu.

Menurut seorang profesor sebuah universiti tempatan, pengguna membayar sekurang-kurangnya 30 peratus lebih apabila membeli perabot atau peralatan elektrik melalui kredit. Bagi peralatan seperti komputer, kamera dan alat perakam, Kadar Peratus Tahunan (APR) boleh menjadi setinggi 60 peratus setahun.

Contohnya kamera video digital. Harga tunai ialah RM1,199 tetapi jika dibeli secara kredit, pengguna boleh memilih untuk membayarnya secara mingguan atau bulanan.

Jika memilih untuk membayar secara bulanan, mereka akan membayar RM82.98 sebulan atau RM1,991.60 untuk 24 bulan.

Walaupun kadar faedah yang dibayar oleh mereka tidak didedahkan kepadanya, mereka membayar kadar faedah efektif pada kadar 60.36 peratus setahun.

Malah dalam kes di mana kadar faedah dinyatakan, pengguna masih perlu berhati-hati. Ini kerana kadar faedah yang dinyatakan boleh mengelirukan terutama dengan pinjaman sewa beli.

Kadar faedah sebenar dibayar oleh pengguna lebih tinggi berbanding angka yang dinyatakan oleh bank atau syarikat kewangan.

Contohnya apabila institusi kewangan menyatakan 5 peratus setahun sebagai kadar faedah bagi pinjaman sewa beli kereta, APR (kadar faedah sebenar yang dikenakan) lebih hampir kepada 9 peratus setahun.

Begitu juga dengan pembeli motosikal yang mengambil pinjaman sewa beli pada kadar 10 peratus setahun sebenarnya membayar kadar faedah 18 peratus setahun.

Pengguna berakhir dengan membayar lebih daripada kadar faedah yang dinyatakan kerana bagi pinjaman sewa beli, kadar faedah yang dikenakan adalah berdasarkan kepada jumlah pinjaman dan bukannya atas baki pinjaman.

Pengguna tidak seharusnya dibiarkan dalam kegelapan mengenai kadar faedah sebenar yang mereka bayar bagi pinjaman mereka. Mereka mempunyai hak untuk mengetahui mengenai kos sebenar kredit supaya mereka boleh memutuskan sama ada pinjaman itu mahal atau tidak.

Oleh sebab itu di mana urusniaga kredit dijalankan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mestilah memastikan perkara berikut dijalankan:

Pertama, kadar faedah perlu didedahkan kepada peminjam sebelum kontrak ditandatangani.

Kedua, kadar faedah mestilah dinyatakan menggunakan APR untuk menggambarkan kos sebenar pinjaman.

Akhir sekali, kaedah pengiraan APR juga perlu diseragamkan memandangkan pelbagai formula berbeza yang digunakan boleh memberikan peningkatan kepada angka yang berbeza.

– S. M. MOMAHAMED IDRIS,

Presiden Persatuan Pengguna P. Pinang.

Dipetik daripada Utusan Malaysia, 23 November 2006

______________________
:: Kad Kredit... seronok masa membeli, demam masa membayarnyaa.... hahaha!

0 Comments:

Post a Comment