Thursday, December 7, 2006

Kafe Siber Di sekolah

Utusan Online
2 Oktober 2006
9 Ramadan 14

‘Kafe siber’ di sekolah - Pusat Akses Komputer untuk pelajar buat tugasan,budayakan ICT.


KLUANG 1 Okt. - ‘Kafe siber’ di sekolah. Ia akan menjadi realiti sepenuhnya tidak lama lagi apabila Kementerian Pelajaran membekalkan 10 unit komputer di hampir semua 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara. Ia akan dikenali sebagai Pusat Akses Komputer, yang konsepnya sama seperti kafe siber.

Melalui pusat itu para pelajar akan menggunakan kemudahan tersebut untuk membuat tugasan sekolah. Pusat ini berbeza dengan makmal komputer yang sedia ada di sekolah-sekolah, yang kegunaannya adalah mengikut jadual waktu persekolahan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebanyak 1,500 buah sekolah dengan 15,000 unit komputer, 1,500 unit pencetak, perabot dan infrastruktur dengan kos sebanyak RM70 juta terlibat dalam fasa pertama. Beliau menambah, pelaksanaannya telah bermula di 51 buah sekolah rendah dan menengah di luar bandar Sabah termasuk 10 sekolah dalam Parlimen Kalabakan di negeri itu manakala 33 buah sekolah lagi di Johor.

Dalam fasa seterusnya tahun depan, beliau berkata, sebanyak 12,900 unit komputer lagi bakal dibekalkan kepada 1,290 sekolah secara berperingkat.

“Berbeza dengan makmal komputer, Pusat Akses Komputer memberi ruang kepada pelajar mengenali ICT dan pada masa yang sama ia mungkin boleh dikongsi oleh ibu bapa, satu hari kelak.

“Menerusi pendekatan ini, nisbah komputer terhadap murid-murid di sekolah dapat dikurangkan, usaha membudayakan ICT dapat dipertingkatkan sekali gus merapatkan jurang pelajar luar bandar dan bandar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyatakan demikian kepada pemberitapada majlis tadarus al-Quran, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan untuk penduduk dalam kawasan Parlimen itu di Masjid Felda Ulu Belitong, dekat Kluang,semalam.

Majlis itu adalah anjuran UMNO Sembrong, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sembrong dengan kerjasama Unit Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri. Hadir sama ialah isteri beliau, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, S. Ramis.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, pusat-pusat akses akan lebih banyak diwujudkan di sekolah luar bandar kerana sekolah di bandar sudah jauh ke depan dalam menikmati kemudahan ICT sama ada dibekalkan oleh kerajaan atau pihak ketiga.

Menyedari pendekatan itu sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak telah mula dibekalkan generator berkuasa 30 Watt yang baru dan generator lama dinaik taraf sebagai bekalan elektrik termasuk air bersih, semuanya selesai paling cepat menjelang tahun depan, jelas beliau.

“Agenda ini penting, kalau tiada elektrik tiada guna dibekalkan komputer, seperti yang berlaku dulu dengan menganggap semua sekolah sama taraf tetapi banyak sekolah tiada bekalan elektrik ia menjadi pembaziran kepada kerajaan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, Kementerian Pelajaran menyerahkan kepada budi bicara pihak sekolah untuk mewujudkan pusat akses itu yang dilihat bukanlah satu masalah besar selain mengekalkan makmal komputer yang sedia ada. Kebimbangan kini ialah faktor keselamatan terhadap komputer-komputer yang dibekalkan dan Hishammuddin mengakui sendiri jika berlaku kehilangan ia mengambil masa yang lama untuk menggantikannya.

“Soal keselamatan perlu diambil kira kerana selepas program ini selesai, isu dari segi insurans, sewa atau jual beli serta menaik taraf kemudahan tersebut masih dalam perbincangan,” katanya.

Namun lebih meresahkan beliau ialah jika segala kemudahan yang disediakan tidak diakses menyebabkan perancangan kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik komputer terbantut.

0 Comments:

Post a Comment