Tuesday, May 22, 2007


KURSUS TERNAKAN IKAN KELI ORGANIK DALAM KANVAS
ANJURAN
Pusat Khidmat Rakyat DUN Jelawat
&
Multi-Purpose Agro (Malaysia) Sdn. Bhd.
20 - 22 Mei 2007 | Damai Beach Resort, Besut, Terangganu


Seramai 144 orang peserta telah menghadiri kursus sebagai perintis Program Melahirkan Usahawan Tani melalui Skim Multi-Purpose Agro. Kursus hasil usaha YB Dato' Dr. Hj. Ilias Husain, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (Kelantan) yang juga ADUN Jelawat.

Cetusan Idea YB. Dato' Dr. Ilyas yang sentiasa memikirkan dan mencari jalan untuk memberi peluang kepada rakyat di Jelawat khususnya dan Bachok amnya, untuk meningkatkan ekonomi keluarga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Pejabat Pusat Khidmat Rakyat DUN Jelawat telah 'diserbu' untuk mendapatkan borang permohonan.

Akibat sambutan yang sangat menggalakkan, Kursus Ternakan Ikan Keli Organik Dalam Kanvas yang asalnya disediakan untuk 150 orang terpaksa di adakan dalam tiga kumpulan.

Kumpulan pertama telah selesai berkursus, dan akan disusuli oleh dua lagi kumpulan yang akan berkursus. Sepanjang kursus yang diadakan di Damai Beach Resort, Besut ini diadakan YB. Dato' Dr. Ilyas sentiasa mengikuti perkembangan dan menilai prestasi peserta. Ternyata, peserta-peserta kursus sangat komited dan berminat, walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan sendiri bagi mengikuti kursus ini.

Sebagai mana yang telah YB. Dato Dr. Ilyas katakan, beliau amat berpuas hati dengan semangat peserta kursus kerana sanggup dan berani untuk menghadapi risiko jika hendak melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

"Saya telah berusaha untuk menunjukkan jalan, dan terpulanglah kepada anda semua untuk merebutnya. Bukan saya tidak mahu menanggung 100% perbelanjaan peserta menghadiri kursus ini, tetapi saya hendak lihat orang melayu berani dan sanggup untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri, tidak semata-mata mengharapkan bantuan kerajaan sahaja," kata beliau.

"Bidang perniagaan penuh dengan risiko, namun dengan semangat dan sedikit usaha, tidak mustahil peserta-peserta kursus ini akan berjaya. Sebagai Wakil Rakyat, saya akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa juga bantuan yang sesuai daripada kerajaan. Sekiranya peserta-peserta kursus hari ini berani menyahut cabaran, saya percaya kerajaan tidak akan teragak-agak untuk memberikan apa juga bantuan yang layak kepada anda semua," ujar beliau lagi.

Kursus yang dikendalikan oleh Multi-Purpose Agro (Malaysia) Sdn. Bhd. ini merupakan satu contoh untuk menggerakkan usaha melahirkan Usahawan Tani, sebagaimana hasrat kerajaan untuk melahirkan 40,000 orang Usahawan Tani dalam tempoh 10 - 15 tahun akan datang.

Insya-Allah dengan langkah pertama ini, peserta-peserta kursus akan berpeluang menceburi bidang ternakan ikan air tawar dengan aplikasi teknologi biotek dan ICT. Usaha kecil ini akan digabungkan untuk menjadi kumpulan yang besar dan teguh. Tidak mustahil satu hari nanti, Daerah Jelawat akan menjadi pusat pengeluaran ikan keli yang utama di negeri Kelantan.


0 Comments:

Post a Comment