Oleh: Hanafiah Hashim
Setiap daripada kita mungkin pernah mengahadapi kemalangan di jalan raya. Apabila berlaku, ia melibatkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan kecederaan diri, kerosakan kenderaan sendiri, kenderaan pihak ketiga dan sebagainya. Di sini, diberikan panduan apabila berhadapan dengan kemalangan jalan raya.
1. Di tempat kemalangan- Dapatkan butir-butir penting daripada pihak atau pihak-pihak lain yang terlibat di dalam kemalangan tersebut seperti:
- Maklumat kenderaan seperti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit, tahun dibuat dan model kenderaan.
- Maklumat pemandu terlibat seperti nama, alamat, nombor telefon pejabat, nombor kad pengenalan, nombor lesen memandu dan alamat kediaman.
- Nama pihak insuran yang mewakili mereka.
2. Berurusan di Balai Polis- Jika tidak terdapat pegawai polis yang bertugas di tempat kemalangan, buat laporan polis mengenai kemalangan tersebut dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan berlaku di balai polis yang berhampiran.
- Jelaskan keadaan kemalangan berlaku dan menulis laporan polis menggunakan bahasa melayu. Sekiranya anda tidak fasih dan tidak mahir menulis di dalam bahasa melayu, seorang pegawai polis akan membantu anda untuk menulis laporan tersebut. Setelah selesai, anda akan diminta menurunkan tandatangan di bahagian bawah laporan tersebut.
- Simpan satu salinan laporan polis yang telah disahkan benar.
3. Berurusan dengan insuran- Baca polisi insuran anda dengan berhati-hati dan laporkan kemalangan yang berlaku kepada pihak insuran secepat mungkin atau dalam tempoh yang ditetapkan dalam polisi insurans tersebut. Sebarang kelewatan memfailkan tuntutan mungkin akan menghapuskan hak anda untuk mendapatkan wang pampasan.
- Jumlah amaun tuntutan yang difailkan mestilah tidak melebihi amaun yang telah ditetapkan di dalam klausa tuntutan. Insurans hanya akan membayar perbezaan antara amaun tuntutan dengan amaun yang ditetapkan.
- Pastikan kenderaan diselenggarakan pihak bengkel yang bertanggungjawab. Kerosakan pada kenderaan akan dinilai oleh seorang pemeriksa atau penilai daripada insurans.
- Sekiranya kemalangan disebabkan pihak lain, anda harus menghubungi insuran yang mewakilinya. Pastikan sama ada polisi insurans yang melindungi pemandu tersebut masih sah dan sama ada nombor tuntutan pampasan ditetapkan.
- Hubungi secara bertulis pihak insurans yang mewakili pemandu tersebut, menyatakan bahawa anda terlibat dalam kemalangan dan mahu memfailkan tuntutan terhadapnya. Seorang pemeriksa atau penilai berkemungkinan besar akan menghubungi anda dan menawarkan untuk menyelesaikan tuntutan khidmat kerosakan kenderaan dan kecederaan peribadi anda. Sesetengah insurans mungkin akan mengetepikan tuntutan dan menolak tuntutan untuk memberikan pertolongan kepada anda. Sekiranya perkara ini terjadi anda berkemungkinan memerlukan khidmat nasihat peguam cara.
4. Jangan cuba lakukan- Mengaku bersalah atau berunding dengan pihak ketiga.
- Membaiki kereta anda tanpa kelulusan daripada Penanggung Insurans, jika anda bercadang mengemukakan tuntutan di bawah Seksyen A.
- Meninggalkan kereta tanpa langkah-langkah munasabah bagi memastikan keselamatan kereta anda setelah berlaku kerosakan.
- Memandu kereta anda sebelum pembaikan disempurnakan.
- Menandatangani Baucer Pelepasan kecuali anda berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan berkenaan.
- Menghantar kereta anda ke bengkel yang bukan panel bengkel yang dibenarkan penanggung insurans.
Dipetik daripada Sinar Harian, 5 Disember 2006