Sunday, December 3, 2006
Gaya hidup keterlaluan dengan menghabiskan masa di hadapan komputer menyumbang kepada peningkatan 65 peratus masalah rabun jauh di kalangan remaja berusia 15 tahun ke atas. Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon berkata, rabun adalah penyebab utama kepada kecacatan penglihatan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Menurutnya, masalah itu mengurangkan sumber tenaga manusia negara untuk mengisi jawatan tertentu seperti polis, tentera dan juruterbang. ‘‘Duduk berjam-jam bermain permainan komputer menyebabkan mata menjadi terlalu letih dan lama kelamaan mereka mengalami rabun jauh,” katanya selepas merasmikan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2006 di Dewan Serbaguna Jawi di sini hari ini.
Kah Choon berkata, gaya hidup itu menyebabkan jumlah pesakit rabun mata meningkat 60 peratus dengan purata penghidap rabun mata mula memakai cermin mata sejak berusia 12 tahun. Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap sesetengah ibu bapa yang lebih suka melihat anak berada dalam rumah berbanding bermain di luar rumah.
Menurutnya, berdasarkan kajian, bagi setiap 1,000 orang di Malaysia, 24 orang mengalami masalah penglihatan terhad dengan dianggarkan setengah juta rakyat negara ini mengalami masalah penglihatan terhad atau rabun. Kah Choon memberitahu, mengikut Kajian Mata Kebangsaan yang dilakukan setiap 10 tahun, tiga orang daripada 1,000 rakyat negara ini adalah buta. Katanya, berdasarkan kajian itu dianggarkan 50,000 rakyat negara ini mengalami buta penglihatan kedua-dua belah mata pada 1996.
Menurutnya, kajian menunjukkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun melibatkan 4,676 pelajar di Selangor pada 2003 mendapati 19.7 peratus responden mengalami masalah kesalahan refraktif. Kata beliau, daripada jumlah itu sebanyak 18.7 peratus mengalami penyakit mata jenis myopia, 1.4 peratus hyperopia dan 15.4 peratus mengalami astigmatism. ‘‘Kajian ini menunjukkan responden berbangsa Cina mempunyai masalah rabun jauh tertinggi iaitu 45 peratus, India 16 peratus dan Melayu 14 peratus. ‘‘Masalah rabun mata juga meningkat sejajar dengan peningkatan umur dan ini dapat dilihat di kalangan responden berumur 15 tahun dengan kadar prevalen rabun jauh adalah 65 pratus bagi Cina, Melayu (31 peratus) dan India (16 peratus),” katanya.
Dipetik daripada Utusan Malaysia, 25 November 2006
Labels: Aku Versi Lelaki